Mungkin ramai daripada kita yang tertanya-tanya apakah jenis-jenis perfume yang terdapat di pasaran dan apakah perbezaan di antara mereka. Mungkin juga ramai yang sering terbaca mengenai perkataan EDT, EDP dan Parfum tetapi apakah sebenarnya maksud perkataan-perkataan tersebut serta perbezaannya?
Jawapan yang mudah, perkataan-perkataan tersebut adalah bagi menjelaskan jenis perfume dan ianya berbeza di antara satu sama lain melalui kepekatan pati minyak wangi yang berada dalam perfume tersebut.
Secara ringkasnya, terdapat 5 jenis kategori utama perfume iaitu Eau Fraiche, Eau de Cologne (EDC), Eau de Toilette (EDT), Eau de Parfum (EDP) dan Parfum. Semua perkataan ini berasal daripada Bahasa Perancis. Secara ringkasnya Eau bermaksud ‘air’ dan De bermaksud ‘dari’.
- Eau Fraiche
Fraiche bermaksud segar atau ‘fresh’ dalam Bahasa Inggeris. Kebiasaannya, perfume jenis ini mengandungi pati minyak wangi yang paling rendah iaitu di antara 1-3% sahaja. Oleh sebab itu ianya lebih murah berbanding EDT atau EDP.
Wangian Eau Fraiche boleh bertahan sehingga 3 jam sahaja.
- Eau de Cologne (EDC)
Secara mudahnya perkataan Cologne bermaksud minyak wangi. EDC adalah lebih pekat daripada Eau Fraiche tetapi masih kurang berbanding dengan EDT atau EDP iaitu 2-6% sahaja. Secara umumnya, EDC boleh bertahan sehingga 4 jam pada badan tetapi bergantung juga kepada faktor-faktor lain. Semburan pada pakaian pula boleh meninggalkan bau yang tahan lebih lama.
- Eau de Toilette (EDT)
Perkataan ‘Toilette’ bukan lah bermaksud tandas atau bilik air, sebaliknya ia bermaksud mempersiapkan diri untuk menghadiri acara istimewa. Sebutannya juga berbeza dengan perkataan ‘toilet’ di mana ia disebut sebagai ‘twa let’.
Berada di tengah-tengah dengan kepekatan pati minyak wangi 5-15% dan mampu bertahan sehingga 6 jam serta harga yang lebih murah berbanding EDP membuatkannya menjadi pilihan ramai. EDT boleh dianggap jenis perfume yang paling popular di antara jenis-jenis perfume yang ada.
- Eau de Parfum (EDP)
EDP mempunyai kepekatan pati minyak wangi di antara 15-20% dan mampu bertahan sehingga 10 jam pada badan dan sekitar 16 jam pada pakaian. Sesuai dengan kepekatan dan ketahanan, harga EDP lebih mahal berbanding EDT.
Walaupun EDP berkepekatan lebih tinggi, tidak semestinya ia mempunyai bau yang terlalu kuat. Sebahagian EDP mempunyai bau yang lembut seperti EDT namun lebih tahan lama! Sudah tentu ianya berbaloi dengan harga yang ditawarkan.
- Parfum
Parfum mempunyai kepekatan yang paling tinggi iaitu 15-40%. Harganya juga paling mahal serta mampu bertahan sehingga 12 jam pada badan.
Kesimpulannya, kelima-lima jenis perfume mempunyai kelebihan tersendiri. Penggunaannya bergantung kepada pilihan anda. Pilihlah jenis-jenis perfume mengikut keperluan dan kesesuaian keadaan serta personaliti anda!